|
Walaupun seseorang guru pelatih
diberi kebebasan menentukan bentuk portfolionya, garis panduan berikut
boleh digunakan untuk menentukan portfolio yang berkualiti.
- Berstrukutr dan tersusun kemas mengikut
cara, peraturan atau kategori yang tertentu dan sistem yang teratur
(mengikut kronologi masa atau senang-susah tugasan, tajuk, susunan
abjad atau kategori yang disaran)
- Bahan bukti pembelajaran (termasuk tugasan) menunjukkan peningkatan
perkembangan guru pelatih berdasarkan aspek kognitif, psikomotor dan
afektif. Bahan yang disediakan juga perlu memperlihatkan proses
menyediakannya, dari deraf awal hingga hasil akhir.
- Mengandungi bukti bahawa guru pelatih telah menerima bimbingan dari
pengetua / guru besar / guru pakar / guru pembimbing / guru penolong
kanan / pensyarah pembimbing atau mana pihak yang berkenaan (bukti
berbentuk tandatangan, komen, cop dan tarikh bimbingan diberi)
- Terdapat bukti kolaborasi guru pelatih dengan rakan, guru
pembimbing, guru pakar, guru kanan, pensyarah pembimbing atau projek,
persediaan mengajar, kertas kerja, ABM, kertas ujian dll dirancang dan
dihasilkan bersama.
- Mengandungi banyak penulisan, catatan dan komen reflektif yang
tercetus daripada pemikiran yang reflektif. Aktiviti menulis refleksi
kendiri juga mendorong guru pelatih menganalisis amalan kendiri dengan
lebih mendalam dan serius.
- Menunjukkan bukti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
Bukti ini boleh diperlihatkan melalui idea dan hujah yang tersusun
sama ada dengan atau tanpa menggunakan pengurusan grafik.
- Mengandungi bukti pencapaian prestasi guru pelatih (segala borang
penilaian prestasi sama ada yang diisi oleh pensyarah, guru pembimbing
atau pengurus sekolah perlu ada dalam portfolio). Borang penilaian
pengajaran berpasangan atau apa-apa bentuk penilaian rakan sebaya
(berbentuk senarai semak yang diisi oleh rakan pelatih) juga perlu
dimasukkan. Surat penghargaan dan sijil dari mana-mana pihak juga
dianggap sebagai bukti prestasi.
- Mengandungi bahan yang terpilih dan releven - Portfolio seharusnya
mengandungi satu set bahan bukti pembelajaran yang terpilih secara
teliti bukan segala bahan dari segala aktiviti yang dijalankan. Ini
akan membolehkan portfolio mudah diurus (manageable) dan lebih
bermakna (meaningful) kepada pelajar yang menyediakannya dan
pesnyarah yang menilai. Selain itu bahan yang dimuatkan dalam
portfolio mestilah bahan yang releven dengan tugasan dan hasil
pembelajaran yang spesifik.
- Mengandungi bahan-bahan yang autentik - Bahan-bahan yang dimuatkan
sebagai bahan bukti pembelajaran mestilah disediakan oleh guru pelatih
sendiri berasaskan situasi yang sebenar bukan ditiru atau diciplak
dari mana-mana sumber.
(Dipetik dari Pukal Latihan:
Penilaian Berterusan Berasaskan Kerja Kursus Berportfolio, BPG & MPPPP
1997)
|