Pangkal
JIP MPSS
Sukatan Pelajaran
Tutorial & Kuiz
Contoh Soalan
Rencana & Nota
Ujian Personaliti
Penyelidikan
Latihan Mengajar
Pautan-Pautan

Sebelum Ini Selepas Ini
Perbezaan Pembelajaran Kolaboratif & Pembelajaran Koperatif

horizontal rule

Pendahuluan

Pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperatif sering digunakan dalam bilik kuliah maktab perguruan dan kedua-dua jenis pembelajaran memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan guru. Nanum demikian banyak guru pelatih masih kurang faham perbezaan kedua-dua pembelajaran tersebut. Masalah ini menjadi lebih ketara menjelang musim menyiapkan kerja kursus berportfolio di mana guru-guru pelatih akan meminta sesiapa sahaja untuk menyemak dan menandatangani portfolionya. Alasannya ialah untuk memenuhi syarat kolaborasi lalu mendapat markah yang lebih tinggi.

Lantaran itu, tujuan rencana ini adalah untuk menjelaskan persamaan dan perbezaan pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperasi agar amalan kedua-dua pembelajaran lebih berkesan dan diharap pelatih akan mengaplikasinya dalam bilik darjah kelak.

Skop

Perbincangan dan pengajian tentang pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperatif amat luas. Ia sering dikaitkan dengan pembelajaran aktif, konstruktivisme, pembelajaran konteksual, pembelajaran eksperiensial dan pembelajaran sosial.

Justeru itu, dalam rencana ini, skop perbincangan dihadkan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kuliah maktab perguruan sahaja. Ini bererti kolaborasi antara pensyarah dalam pembelajaran pelbagai disiplin, penyelidikan dan pembangungan sekolah tidak diambilkira. Selain itu, kolaborasi antara pensyarah dan pelatih dalam penyelidikan dan projek khas juga diketepikan.

Satu lagi aspek yang cuma dibincangkan sepintas lalu ialah penilaian, ciri-ciri pembelajaran kumpulan serta berbagai-bagai bentuk pembelajaran elektronik. Begitu juga kolabori berpandukan WWW seperti Web Quest dan sebagainya.

Contoh Kes

Untuk melihat perbezaan antara pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperasi, adalah baiknya jika kita meneliti satu contoh kes yang boleh menunjukkan perbezaan pelaksanaan kedua-dua pembelajaran tersebut. Dayang Awang merupakan pelatih yang mengikut kursus Ilmu Pendidikan di bawah bimbingan Dr. Sun Tan seorang pensyarah yang menggunakan prinsip-prinsip pembelajaran koperatif. Dayang juga mengikuti kursus penulisan di bawah Dr. Star Bun yang mengamalkan pembelajaran kolaboratif. Dalam kuliah Dr. Sun, Dayang dan ahli-ahli kumpulannya melibatkan diri dalam aktiviti kumpulan yang berstruktur semasa mereka menyelesaikan masalah atau mempelajari sesuatu kemahiran; sering kalinya Dayang diperuntukkan pranan spesifik dalam kumpulan. Dalam kuliah pembelajaran kolaboratif Dr. Star, Dayang dan ahli-ahli kumpulannya diminta untuk mengorganisasi usahasama dan berunding sesama ahli kumpulan tentang peranan masing-masing untuk mengkritik dan membincangkan esei pelajar lain.

Bila ahli-ahli kumpulan sedang memainkan peranan masing-masing dan menjalankan aktiviti berstruktur dalam kuliah pembelajaran koperatif, Dr. Sun beredar dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain untuk memerhati interaksi dan mendengar perbualan ahli kumpulan. Sekiranya perlu, Dr. Sun akan mencampur tangan untuk membetulkan perjalanan dan hasil perbincangan. Dalam kuliah pembelajaran kolaboratif, Dr. Star tidak memantau secara aktif kegiatan kumpulan malah mengembalikan semua soalan kepada kumpulan untuk dibincangkan. Pada akhir kuliah, Dr. Sun mengadakan sesi kesimpulan untuk merumuskan perjalanan kuliah dan aktiviti kumpulan; ada kalanya kumpulan diminta menyampaikan secara lisan laporan ringkas tentang hasil dapatan atau menyerahkan salinan hasil perbincangan kepada Dr. Sun untuk komen dan penilaian. Kuliah Dr. Sun biasanya diakhiri dengan sesi plenari; pelajar-pelajar sendiri membuat rumusan dan melaporkan hasil kerja perbincangan dan selepas itu menyimpan segala catatan perbincangan tentang karangan yang dikritik untuk dijadikan bahan pembelajaran dalam kuliah akan datang.

Pada permulaan semester, Dayang dan rakan-rakan sekelasnya dalam kuliah Dr. Sun diberi latihan tentang kemahiran sosial dalam kumpulan kecil seperti pendengaran aktif, dan memberi maklum balas konstruktif kepada rakan sekumpulan. Dayang tidak menerima latihan formal tentang teknik-teknik tersebut dalam kuliah Dr. Star kerana ia berpendapat pelatih-pelatih telah memiliki kemahiran-kemahiran sosial yang asas untuk kerja-kerja kumpulan. Selain itu, dalam kuliah Dr. Sun, pelatih-pelatih sering melakukan tugasan ‘pemprosesan’ kumpulan di mana pelatih-pelatih menilai fungsi kumpulan dan bagaimana ahli-ahli kumpulan (secara individu atau kumpulan) boleh memperbaiki paras penglibatan dan prestasi kumpulan. Dalam kuliah Dr. Star, tidak terdapatnya sesi pemprosesan kumpulan kerana ia inginkan Dayang dan pelatih-pelatih lain menyelesaikan konflik kumpulan atau isu-isu penglibatan ahli-ahli kumpulannya.

Dalam kuliah-kuliah hipotetikal yang baru dinyatakan, prosedur Dr. Sun dan Dr. Star menggambarkan komitmen kepada pembelajaran aktif kumpulan kecil yang jelasnya berbeza daripada nilai dan gaya kuliah tradisi. Kedua-dua pensyarah telah menyerahkan sebahagian autoriti tradisi pengajar kepada pelatih. Keputusan yang diambil oleh kedua-kua pensyarah bergandung kepada andaian tentang peranan pengajar, sifat pelajar, dan autoriti pengetahuan. Bagaimanapun, amalan kedua-dua pengajar dan andaian-andaiannya berbeza kerana mereka telah mengambil kaedah berbeza tentang pembelajaran kumpulan.

Berasaskan huraian kuliah Dr. Sun dan Dr. Star, maka jelasnya terdapat perbezaan di antara pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif. Mengikut Matthews et. al, antara perbezaan-perbezaan yang boleh dikesan ialah:

bullet

Gaya, fungsi, dan darjah penglibatan pengajar;

bullet

Isu hubungan autoriti dan kuasa antara pengajar dan pelajar;

bullet

Setakat mana pelajar perlu dilatih untuk bekerja dalam kumpulan;

bullet

Bagaimana pengetahuan dibina dan diasimilasikan;

bullet

Isu-isu implementasi lain seperti pembentukan kumpulan, pembinaan tugasan, akauntabiliti individu dan kumpulan, dan penilaian yang tepat.

Dalam pada itu, Matthews et. al juga mengenalpasti beberapa persamaan di antara pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif. Antaranya ialah:

bullet

Pembelajaran dalam bentuk aktif adalah lebih berkesan daripada penerimaan maklumat secara pasif;

bullet

Pengajar memainkan peranan sebagai fasitator, jurulatih atau ‘bidan’ dan bukan ‘sage on the stage’;

bullet

Pengajaran dan pembelajaran adalah pengalaman yang dikongsi di antara pengajar dan pelajar;

bullet

Menyeimbangkan syarahan dan aktiviti kumpulan kecil adalah bahagian penting dalam bilik kuliah;

bullet

Penglibatan dalam aktiviti kumpulan kecil dapat membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi dan memantapkan kebolehan individu untuk mengaplikasikan pengetahuan;

bullet

Penerimaan tanggungjawab untuk pembelajaran sama ada secara individu atau kumpulan dapat mengukuhkan perkembangan intelek;

bullet

Penyuaraan idea-idea sendiri dalam situasi kumpulan kecil mengayakan kebolehan pelajar untuk merefleksi akan andaian dan proses pemikirannya;

bullet

Pembangunan kemahiran sosial dan kumpulan melalui pembinaan konsensus secara bertolak ansur merupakan asas pendidikan liberal;

bullet

Keahlian dalam komuniti akademik yang suportif dapat meningkatkan kejayaan dan ingatan pelajar; dan

bullet

Menghargai kepelbagaian atau diversiti bilik kuliah adalah mustahak untuk kehidupan demokrasi berbilang bangsa dan budaya.

Perbincangan

Mengikut Panitz (1996), ‘Collabortion is a philosophy of interaction and personal lifestyle whereas cooperation is a structure of interaction designed to facilitate the accomplishment of an end product or goal’.

Pembelajaran kolaboratif  bukan hanya merupakan satu teknik dalam bilik darjah malah merupakan suatu falsafah peribadi. Dalam semua situasi kolaboratif, orang berinteraksi dalam kumpulan dan memerlukan penghormatan tentang kebolehan dan sumbangan ahli kumpulan. Terdapatnya perkongsian autoriti dan penerimaan tanggungjawab di antara ahli kumpulan terhadap tindakan kumpulan. Premis asas pembelajaran kolaboratif ialah pembinaan konsensus melalui koperasi ahli kumpulan. Ini bertentangan dengan persaingan di mana setiap ahli cuba mengatasi orang lain. Pengamal pembelajaran kolaboratif menggunakan falsafah ini dalam bilik darjah, mesyuarat jawatankuasa, kumpulan komuniti, keluarga dan secara amnya apabila berhubung dengan orang lain.

Pembelajaran koperatif didefinisikan sebagai satu set proses untuk membantu interaksi manusia agar mencapai matlamat tertentu atau membangunkan produk yang spesifik. Ianya lebih terarah daripada pembelajaran kolaboratif dan biasanya diawasi dengan teliti oleh pengajar. Walaupun terdapat mekanisme untuk analisis kumpulan dan renungan kendiri, pendekatan teras pembelajaran koperatif adalah berpusatkan guru manakala pembelajaran kolaboratif lebih berpusatkan pelajar.

Spencer Kagan mengutarakan definisi pembelajaran koperatif dengan melihat kepada ‘creation, analysis and systematic application of structures, or content-free ways of organizing social interaction in the classroom’. Sesuatu struktur biasanya terdiri daripada langkah-langkah bersiri dan setiap langkah ditentukan tingkah laku khas. Contoh-contoh strurktur yang biasanya digunakan dalam bilik darjah ialah “Think-Pair-Share”, “Numbered Heads Together” dan “Paraphrase Passpot”.

Mengikut John Myers (1991), pembelajaran kolaboratif mementingkan proses bekerjasama dalam pembelajaran manakala pembelajaran koperatif menegaskan hasil atau produk pembelajaran. Selain itu, pembelajaran koperatif  berasal usul dari Amerika Syarikat, khasnya berdasarkan hasil karya John Dewey yang mengutarakan pembelajaran berunsur sosial serta pendirian Kurt Lewin yang mengutamakan dinamika kumpulan. Bagi pembelajaran kolaboratif pula, asal usulnya adalah dari United Kingdom, terutamanya syor-syor guru bahasa inggeris yang ingin membantu pelajar bertindak balas kepada kesusasteraan dengan lebih aktif dan bertanggungjawab. Justeru itu, pembelajaran koperatif berkecenderungan menggunakan kaedah kuantitatif yang meneliti pencapaian pelajar iaitu hasil pembelajaran. Pembelajaran kolaboratif lebih cenderung menggunakan pendekatan kualitatif yang menganalisa ucapan pelajar semasa ia mengkritik sesuatu penulisan kesusasteraan atau sejarah. Di samping itu, menurut Meyers lagi, perbezaan kedua-dua konsep adalah seperti berikut:

“Supporters of co-opertive learning tend to be more teacher-centered, for example when forming heterogeneous groups, sturcturing positive inter-dependence, and teaching co-operative skills. Collaborative learning advocates distrust structure and allow students more say in forming friendship and interest groups. Student talk is stressed as a means for working things out. Discovery and contextural approaches are used to teach interpersonal skills.”

Rocky Rockwood meninjau perbezaan pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif dari segi jenis isi kandungan yang dipelajari. Bagi Rockwood, pembelajaran koperatif digunakan dalam pembelajaran pengetahuan tradisi atau kakonik manakala pembelajaran kolaboratif seiring dengan gerakan konstruktivis sosial mementingkan liberisasi pengetahuan dan autoritinya. Hasilnya ialah suatu anjakan daripada ‘foundational (cognitive) understanding of knowledge’, kepada ‘a nonfoundational ground where “we understand knowledge to be a social construct and learning a social process” (Brufee, 1993).

Sehubugan dengan itu, dari segi pembelajaran kolaboratif, autoriti untuk menilai dan menentukan kewajaran hasil kerja kumpulan diproses melalui (1) kumpulan kecil, (2) kumpulan plenari, dan (3) komuniti ilmu yang lebih luas. Konsep ilmu bukan teras mencabar proses yang digunakan untuk memperoleh ilmu teras selain daripada hasil proses tersebut. Satu aspek yang penting dalam pembelajaran koperatif ialah letaknya autoriti dalam tangan pengajar. Pengajar berkuasa untuk menentukkan tugasan, masalah, serta kewajaran hasil kerja kumpulan. Sebaliknya dalam pembelajaran kolaboratif, selepas pengajar menentukan tugasan, ia telah memindahkan autoriti kepada kumpulan. Secara unggulnya, tugasan kumpulan akan sentiasa terbuka untuk disahkan oleh komuniti ilmu yang lebih luas dan bukan pengajar semata-mata.

Lantaran itu, dari perspektif empowerment, pembelajaran koperasi kurang memberi kuasa kepada pelajar. Pelajar cuma dikehendaki untuk mengusahakan matlamat pengajar dan menghasilkan jawapan yang ‘betul’ atau diterima oleh pengajar. Pembelajaran kolaboratif lebih memberi kuasa kepada pelajar dan sedia menanggung risiko-risiko empowerment. Contohnya pengajar harus menerima hasil kolaborasi kumpulan yang berkemunkinan bercanggah dengan pendiriannya dan terlalu mudah mahupun ringkas. Mengikut Rockwood, pembelajaran koperatif merupakan pendekatan yang paling sesuai untuk pengetahuan teras. Selepas pelajar telah menguasai dengan wajarnya dalam pengetahuan asas, maka barulah ia bersedia untuk pembelajaran kolaboratif.

Matthews et al. berpendapat kebanyakan penyelidik dan ahli teori pembelajaran koperatif merupakan ahli psikologi-sosial atau sosiologi yang berfokuskan aplikasi di sekolah rendah dan menengah. Tujuan utama penyelidikan mereka ialah untuk mencari perbandingan di antara pembelajaran koperatif dengan bentuk pengajaran yang lain. Bagaimanapun dalam dekad ini, teknik-teknik koperasi telah dikembangkan dan diadaptasikan di peringkat kolej. Penyelidik-penyelidik dan ahli teori yang menumpukan perhatian kepada pembelajaran kolaboratif biasanya berlatar belakangkan bidang kemanusiaan dan sains sosial. Hasil karya golongan ini sering membangkitkan isu-isu teoritikal, politikal dan falsafah tentang sifat pengetahuan sebagai pembinaan sosial serta autoriti dalam bilik darjah. Di sini timbulkan perkaitan amalan kolaboratif dengan pedagogi feminis.

Kesimpulan

Pembelajaran koperatif dan kolaboratif dikembangkan secara terasing di mana pengikut-pengikutnya telah membentuk persatuan, menerbitkan jurnal-jurnal, dan menganjurkan konferens yang berbeza dan pada ketika yang berlainan. Hasilnya ialah keraguan dan kejahilan satu golongan terhadap golangan yang lain. Kekurangan komunikasi dan informasi di antara pengikut-pengikut kedua-dua pendekatan telah menyebabkan rasa ortodoks yang kaku.

Rencana ini merupakan satu usaha untuk menjelaskan konsep pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperasi agar guru pelatih berasa lebih yakin untuk mengamalkan kedua-duanya dalam maktab mahupun di sekolah kelak. Ini menjadi lebih penting lagi memandangkan teknologi maklumat telah meruntuhkan sempadan masa dan ruang agar koperatif dan kolaborasi menjadi unsur yang penting dalam pendidikan. 

Jabatan Ilmu Pendidikan
Maktab Perguruan Sandakan
Beg Berkunci No. 31,
90009 Sandakan, Sabah.
Tel: 089-218610
Faks: 089-213814

Disediakan oleh:
Ng Kim Choy (M.Tech.Mgt.,B.A. (Hons.), Dip.Ed.),
Ketua Jabatan, Jabatan Ilmu Pendidikan, MPSS.
11 Ogos 1999
http://www.teachersrock.net